Kenapa Saya Rasa Terpinggir dan Macam Mana Saya Cuba Bangkit
Empat tahun lepas, hidup saya berubah 180 darjah. Saya, seorang ketua keluarga yang dah kerja dalam industri penerbangan selama 17 tahun, tiba-tiba hilang kerja sebab pandemik. Sama macam ramai orang lain yang kena tempias, saya terpaksa cari jalan untuk survive. Tapi inilah masalahnya—bukan semua orang dapat bantuan kerajaan yang diwar-warkan. Saya salah seorang yang ‘terlepas pandang.’
Bila ekonomi jatuh dan kerja makin susah nak cari, saya cuba pelbagai cara untuk bangkit semula. Saya nak upskill, belajar kemahiran baru supaya boleh dapat kerja yang lebih stabil. Tapi sayangnya, kebanyakan program latihan kerajaan lebih fokus kepada golongan tertentu—B40. Saya? Duduk dalam zon pelik: tak cukup miskin untuk dapat bantuan, tapi cukup struggle untuk rasa kesannya.
Nak start bisnes? Lagi banyak cabaran. Bantuan kewangan untuk usahawan kecil macam tak wujud untuk orang macam saya. Saya cuba mohon pinjaman, tapi sebab CTOS saya dah jatuh ke tahap ‘POOR’ (terima kasih kepada tunggakan lepas hilang kerja), memang tak payahlah nak harap bank layan. Ironinya, walaupun saya dah sah-sah tak layak pinjam duit, bank tetap telefon hari-hari tuntut bayaran. Sistem ni lagi cepat hukum orang susah daripada bagi peluang untuk bangkit semula.
Saya faham, ada yang mungkin cakap, “Ramai orang susah, bukan kau sorang.” Betul, saya setuju. Tapi bayangkan, lepas berpuluh tahun kerja keras, bayar cukai, sumbang kepada ekonomi, tiba-tiba bila jatuh terduduk, pintu bantuan tertutup rapat. Itu yang buat saya bitter—bukan sebab saya iri hati, tapi sebab sistem ni tak adil pada orang yang betul-betul nak usaha bangkit.
Tapi saya tak boleh terus duduk merungut. Kalau harap bantuan yang mungkin takkan sampai, saya hanya bazir masa. Saya kena buat sesuatu.
Saya memang minat reka bentuk grafik dan branding sejak dulu lagi. Lepas hilang kerja, saya cuba masuk balik dalam bidang ni sebagai freelancer. Tapi dunia freelancing ni penuh cabaran—pendapatan tak menentu, nak dapat klien yang sanggup bayar harga berpatutan pun bukan mudah. Jadi, saya buat keputusan lebih besar—start bisnes sendiri. Saya pilih untuk jual t-shirt dan merchandise dengan design unik, khususnya dalam niche muzik rock dan metal, sesuatu yang memang dekat di hati saya.
Rupa orang mature masa internship kat Petronas.
Untuk kukuhkan lagi kemahiran, saya ambil keputusan sambung belajar dalam bidang reka bentuk grafik di MSU. Ini bukan keputusan yang senang—tanpa pendapatan tetap, saya bergantung sepenuhnya kepada isteri saya yang sanggup biayai pengajian saya. Dia percaya saya boleh berjaya, dan itu jadi pembakar semangat saya. Saya tak boleh kecewakan dia, dan saya nak buktikan yang ilmu dan kerja keras boleh jadi jalan keluar dari kesusahan.
Kenapa t-shirt? Sebab ia bukan sekadar pakaian. Ia identiti, cara untuk sampaikan mesej, dan satu bentuk ekspresi diri. Dengan jenama ni, saya bukan sekadar nak buat duit, tapi saya nak bina sesuatu yang boleh berkembang untuk jangka panjang. Saya nak buktikan yang walaupun tanpa bantuan kerajaan, tanpa sokongan bank, seseorang masih boleh cari jalan keluar dari kesempitan hidup.
Senang ke? Langsung tak. Tapi sekurang-kurangnya, bisnes ni sesuatu yang saya boleh kawal sendiri. Saya tak perlu bergantung kepada janji-janji kosong atau harapan palsu dari sistem yang tak peduli pasal orang macam saya. Saya tahu perjalanan ni panjang, tapi selagi saya terus usaha, saya yakin saya boleh ubah nasib sendiri.
Saya tulis ni bukan nak meraih simpati. Saya tahu ramai lagi orang yang struggle lebih teruk dari saya. Tapi saya nak highlight satu perkara—sistem kita sebenarnya tak betul-betul tolong orang dalam ‘zon kelabu’ macam saya. Dan pada masa yang sama, saya nak beri inspirasi pada sesiapa yang rasa mereka dalam keadaan serupa. Kalau tak ada bantuan, create peluang sendiri. Kalau satu pintu tertutup, cari jalan lain. Jangan biarkan sistem yang tak adil tentukan masa depan kita.
Saya mungkin masih dalam perjalanan untuk keluar dari kemelut kewangan ni, tapi sekurang-kurangnya sekarang saya ada harapan. Dan bagi saya, itu dah cukup untuk terus berjuang.